Perpaduan di kalangan kumpulan etnik di Malaysia sukar
dicapai kerana sistem sekolah pelbagai aliran di negara itu membolehkan
sekolah-sekolah berkenaan menggunakan bahasa ibunda etnik dan bukannya bahasa
kebangsaan sebagai medium pengajarannya, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Walaupun
Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan
membenarkan sekolah-sekolah vernakular menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa
Tamil masing-masing untuk masyarakat etnik Cina dan India selain
sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu. "Kita tidak mahu menafikan hak mereka untuk
belajar menggunakan bahasa ibunda mereka tetapi memandangkan kita mempunyai
tiga sekolah aliran berlainan, adalah sukar bagi negara kita mencapai
perpaduan,”kata Mahathir bila ditanya oleh seorang tetamu mengenai keadaan
pendidikan di Malaysia semasa satu sesi dialog. Mahathir, yang tiba di Jakarta pada Khamis untuk
lawatan rasmi dua hari, mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang
tinggal di ibu kota Indonesia itu di Kedutaan Malaysia. Sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berakar umbi
daripada penghijrahan besar-besaran kaum Cina dan India dari Tanah Besar China
dan India ke Tanah Melayu, yang dijajah British pada abad ke-19, dengan
masyarakat berkenaan membangunkan sekolah dan kurikulum mereka sendiri di bawah
dasar pecah dan perintah di bawah kerajaan Britain. Sistem pendidikan masa kini sebahagian besarnya
berdasarkan Laporan Razak 1956 yang dilaksanakan oleh menteri pendidikan ketika
itu, Razak Hussein. Beliau telah
mencadangkan sukatan pelajaran yang sama di mana sekolah rendah yang terdiri
daripada sekolah-sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar manakala sekolah-sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa Cina,
bahasa Tamil atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dengan bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris dijadikan subjek wajib. Sistem itu dilihat sebagai langkah kompromi selepas
masyarakat Cina menolak Laporan Barnes pada 1950, yang mengandungi gesaan
supaya ditubuhkan sistem sekolah tunggal berasaskan bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris. Mahathir bagaimanapun berkata
bahawa kerajaan sememangnya terbuka kepada idea berhubung aliran sekolah
tunggal yang menggunakan satu bahasa, sekiranya itu yang orang ramai
mahu. "Kita tidak mampu
memansuhkan sekolah vernakular kecuali orang ramai sendiri yang meminta
demikian dan mereka bersedia menggunakan hanya satu bahasa," kata Perdana
Menteri. "Sekiranya itu berlaku,
perpaduan negara dapat dicapai dengan mudah,” katanya.
No comments:
Post a Comment